Al-Qur'an Penenang Qalb...Pengubat Kesedihan...
DALAM Islam, bukan membaca al-Quran saja yang menjadi ibadat dan amal yang mendapat pahala dan rahmat, malah mendengarnya pun mendapat balasan. Malah, sebahagian ulama mengatakan bahawa, mendengar orang membaca al-Quran, pahalanya sama dengan orang yang membacanya.
Pahala orang mendengar bacaan al-Quran dengan jelas disebut dalam firman-Nya yang bermaksud : “Dan apabila dibacakan al-Quran, maka dengarkanlah baik-baik dan perhatikanlah dengan tenang agar kamu mendapat rahmat.” (Surah al-A’raaf, ayat 204)
Demikian besar mukjizat al-Quran sebagai wahyu Ilahi, yang tidak bosan-bosan orang membaca dan mendengarkannya. Malah, semakin sering orang membaca dan mendengarnya, semakin terpikat hatinya kepada al- Quran. Apabila al-Quran itu dibaca dengan lidah yang fasih, dengan suara baik dan merdu, ia akan memberi pengaruh kepada jiwa orang yang mendengarnya, sehingga seolah-olah yang mendengarnya sudah ada di alam ghaib, bertemu langsung dengan Khaliknya.
Keadaan orang mukmin tatkala mendengar bacaan al-Quran itu, digambarkan oleh firman Allah sebagai berikut:
“Sesungguhnya, orang yang beriman itu, hanyalah mereka yang apabila disebut (nama) Allah, gementar hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-Nya, bertambahlah iman mereka kerana-Nya dan kepada Tuhanlah mereka bertawakal.” (Surah al-Anfaal, ayat 2).
Diriwayatkan bahawa suatu malam, Nabi Muhammad saw mendengar Abu Musa Al Asy'ari membaca al-Quran sampai jauh malam. Sepulang ke rumah, Baginda ditanya oleh isterinya, Aisyah: “Apa sebabnya pulang sampai jauh malam? Rasulullah menjawab bahawa Baginda terpikat oleh kemerduan suara Abu Musa Al Asy'ari membaca al-Quran, seperti merdunya suara Nabi Daud.”
Dalam riwayat, banyak diceritakan, betapa kuatnya kesan bacaan al-Quran terhadap hati orang kafir. Selepas mereka mendengar bacaan al-Quran, tidak sedikit hati yang pada mulanya keras dan marah kepada Muhammad serta pengikutnya, berbalik menjadi lembut dan mahu mengikuti ajaran Islam.
Rasulullah sendiri sangat gemar mendengar bacaan al-Quran daripada orang lain. Dalam sebuah hadis, yang diriwayatkan oleh Bukhari, disebutkan bahawa Abdullah Ibnu Mas’ud menceritakan sebagai berikut : “Rasulullah berkata kepadaku: “Hai Ibnu Mas'ud, bacakanlah al-Quran untukku!” Lalu aku menjawab: “Apakah aku pula yang membacakan al-Quran untukmu, ya Rasulullah, padahal al-Quran itu diturunkan Tuhan kepadamu?” Rasulullah menjawab : “Aku senang mendengar bacaan al-Quran itu daripada orang lain.”
Kemudian Ibnu Mas’ud membacakan beberapa ayat dari surat an-Nisaa. Rasulullah sangat terharu tatkala bacaan Ibnu Mas’ud itu sampai kepada ayat ke-41 yang berbunyi: “Maka bagaimanakah (halnya orang kafir nanti), apabila Kami mendatangkan seorang saksi (rasul dan nabi) dari tiap-tiap umat dan Kami mendatangkan kamu (Muhammad) sebagai saksi atas mereka itu (umatmu).”
Rasulullah lalu berkata: “Cukuplah, sekian saja, ya Ibnu Mas'ud!” Ibnu Mas'ud melihat Rasulullah menitiskan air matanya serta menundukkan kepalanya.
Koleksi Artikel myMasjid
1 Comments:
Salam..saya berasa sangat sedih kerana apa yang saya impikan selama ini tidak tercapai..saya telah berusaha bersungguh2 untuk belajar dan mengharap result yang baik sekali malangnye nasib tidak menyelebelahi saya.saya tak dapat apa yang saya impikan.result saya setakat lulus sahaja tidak cermerlang pun.tapi kenapa saya tak dapat walaupun dah berusaha bersungguh-sungguh? Apakah ini ujian untuk saya hadapi? apa hikmah di seballik nye? terima kasih dan maaf sekiranya saya ada tersalah cakap.
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home