Forwarded e-mail... Nak share artikel ini...
Renungilah..
Saya sering ditanya oleh adik-adik di
kampus tentang dakwah, tentang jamaah,
tentang kaedah memilih badan yang ingin
disertai… dengan pelbagai format
pertanyaan.
Namun, adik-adik di kampus perlu
berhenti sejenak dan menapak selangkah
ke belakang. Jawab dahulu soalan yang
paling penting, MENGAPA MAHU BERDAKWAH?
Jawab dahulu soalan ini, sebelum pergi
kepada soal organisasi dan jamaah.
Ada orang mengambil keputusan untuk
berdakwah, kerana persekitarannya penuh
kerosakan dan maksiat. Pengikut aliran
Nafsu Nafsi semakin tinggi, mengatasi
pendukung Salafi Khalafi. Ketika
segelintir rancak berbincang tentang
kaedah melahirkan da'ie, siswi
melahirkan anak luar nikah lebih
meninggi. Sesuatu mesti dilakukan,
lantas keputusan diambil, saya mesti
berdakwah.
Salahkah pemikiran seperti ini? Tentu
tidak salah, tetapi ada kekurangannya
di
situ…
Ada segelintir yang mengambil keputusan
untuk berdakwah kerana hasil ilmu dan
pengetahuannya, dia mendapat tahu
bahawa
dakwah itu wajib. Kewajipan dakwah itu
sangat rasional. Fathi Yakan di dalam
bukunya Apa Erti Saya Menganut Islam
menegaskan tiga sudut yang membawa
kepada kewajipan dakwah. Himpunan ayat
al-Quran dan al-Hadith tentang
kewajipan
dakwah, sudah pun dihadam di dalam
pelbagai siri usrah dan seminar. Dakwah
itu wajib, maka ia mesti dilaksanakan.
Apakah salah berpemikiran sebegini?
Tentu sekali pemikiran ini adalah
pemikiran yang lurus dan benar tentang
dakwah. Tetapi di sana ada sesuatu yang
kurang. Kurang itu mungkin tidak muncul
semasa kita di kampus. Ia datang
kemudian…
Sama ada kita mengambil keputusan untuk
berdakwah kerana persekitaran, atau
kerana sedar akan kewajipan dakwah,
kedua-dua motif dakwah ini letaknya di
luar. Ia datang dari luar ke dalam
diri.
Apabila ia datang dari luar ke dalam,
kita bergerak di medan dakwah hasil
dorongan luar diri.
"Apa nak jadi dengan masyarakat di
kampus kita, kalau kita tidak
berdakwah", pesan seorang naqib kepada
anak buahnya.
"Takkanlah aku nak malas-malas dan
mengabaikan dakwah. Ini bukan cakap
naqib aku, tapi Allah yang cakap, Nabi
yang cakap", monolog seorang siswa yang
baru menerima panggilan telefon
memanggilnya hadir ke mesyuarat Program
Minggu Dakwah tidak lama lagi.
Ya, mata melihat kemungkaran. Otak
tunduk kepada rasional dalil wajib
dakwah. Tetapi sudahkah HATI
merasainya?
TAHU DAN MAHU
Jika kita berdakwah kerana keyakinan
akal terhadap hujah dan dalil, akal
kita
menawarkan TAHU. Apabila kita duduk
dalam 'dunia akal 'di kampus, ia sudah
cukup untuk membantu diri kita terjun
ke
medan dakwah. Dunia realiti bukan dunia
akal. Ia bukan dunia tahu, dunia kita
adalah dunia MAHU.
Sudah berkali-kali saya
cuba buktikan,
bahawa manusia tidak bertindak hanya
berasaskan apa yang dirinya TAHU.
Manusia bertindak berasaskan apa yang
dia MAHU, dan mahu itu adalah soal
hati.
Bagaimanakah apa yang kita TAHU tentang
dakwah itu boleh dikesan telah terserap
ke dalam hati menjadi MAHU? Jawapannya
tidak sukar, pada jalan dakwah itu kita
mendapat KEPUASAN hidup.
Bekas peserta kursus saya (rujuk
artikel
Apa Tajuk Bab 1 Dakwah Anda),
mengatakan
bahawa beliau bersyukur dapat hadir ke
kursus tersebut dan merasa rugi di
pihak
kawan-kawannya yang tidak hadir. Dalam
keadaan baju masih dedah sana sini, dan
lidah masih bertindik, beliau berkata,
"saya mahu sampaikan apa yang saya
dapat
dalam kursus ini kepada kawan-kawan
saya!"
Tidakkah beliau sudah menerima konsep
dakwah? Hatinya sudah mahu, sebelum
akalnya tahu…
ANALOGI 3 PEKERJA
Analogikan sahaja kepada 3 pekerja.
Pekerja pertama merampus-rampus dan
merungut semasa mengecat dinding kerana
tertekan dengan kerjanya itu. Pekerja
kedua lebih tenang dan gembira mengecat
dinding kerana dia tahu, kerjanya
itulah
nanti yang bakal menjadi gaji. Bekerja
untuk menerima imbuhan. Manakala
pekerja
ketiga sangat gembira dan mendapat
kepuasan kerja, sebelum gaji diterima,
kerana padanya perbuatan mengecat
dinding bukan sekadar sebahagian kerja
menyiapkan bangunan, tetapi beliau
menganggap dirinya sebagai sebahagian
dari kebahagiaan keluarga yang bakal
duduk di rumah itu. Bukan hanya cat,
tetapi yang disalut pada rumah itu
adalah sebuah harapan agar ahli rumah
itu nanti bahagia.
Anda pendakwah kategori mana?
Semasa berdepan dengan mesyuarat dan
tekanan kerja dakwah, adakah anda
merampus dan merungut-rungut?
Bandingkan
sahaja diri seperti ini dengan pengecat
pertama. Buat sesuatu kerana terpaksa,
tiada matlamat, dan penuh rungutan.
Atau anda gembira dengan dakwah di
kampus? Gembira kerana penglibatan anda
bakal dikira di dalam jam kredit, dan
boleh dimasukkan di dalam resume?
Setiap
kali di awal program, nama anda akan
dialu-alukan oleh penceramah? Dapat
berdamping dengan orang besar-besar
yang
datang? Dapat kawan?
Macam-macam kita boleh dapat melalui
kerja dakwah. Hati gembira apabila
berdakwah untuk MENERIMA.
Dakwah kategori ini, tarafnya hanya
sekadar ko kurikulum. Aktiviti
persatuan. Makna dakwah yang
dilakukannya kepada sebuah kehidupan,
tidak begitu difikirkan. Semasa miskin
jam kredit dan semasa baru berkenalan
dengan 'pengaruh', mungkin dorongan
berdakwah untuk menerima sudah cukup
kuat untuk mengajak kita turun ke medan
dakwah.
Tetapi jika anda berdakwah di kategori
ketiga, anda berdakwah untuk mencari
makna hidup. Dakwah bukan semata-mata
untuk menerima pengiktirafan kampus,
tetapi dakwah anda adalah untuk
memberikan makna kepada diri dan rakan.
Setelah diri merasa begitu bertuah
terpilih menerima sentuhan Iman, terasa
dalam diri untuk berkongsi tuah itu
dengan saudara yang lain.
Dakwah anda bukan hanya untuk kejayaan
diri, tetapi juga untuk kejayaan orang
lain. Bukan hanya berjaya mengubah cara
fikir, cara pakai dan cara cakap,
tetapi
berjaya mengubah erti hidup dan bertemu
jalan menuju Syurga!
Akhirnya pendakwah ketiga, berdakwah
kerana pada dakwah itulah dia bertemu
kepuasan hidup. Pada dakwah itulah dia
memberi makna kepada hidup. Keinginan
untuk berdakwah, adalah kerana
kemanisan
iman dan penghargaan yang tinggi
terhadap hidayah Tuhan, yang melimpah
ruah di dalam hati, sebelum datang soal
wajib dakwah dan panggilan dakwah
terhadap kerosakan bi'ah
(persekitaran) .
Dakwah ini adalah dakwah dalam ke luar.
Bukan lagi dakwah luar ke dalam. Dakwah
ini adalah dakwah untuk memberi, bukan
sekadar menghitung terima.
Kenapa soal ini penting?
DUNIA KERJAYA DAN RUMAHTANGGA
Apabila adik-adik di kampus terjun ke
medan kerjaya dan berumahtangga, mereka
yang dahulunya aktif berdakwah akan
kecundang satu demi satu.
Mereka kecundang bukan kerana fikiran
telah berubah.
Dulu saya yakin dakwah itu wajib,
tetapi
kini di alam kerja dan rumahtangga,
saya
berjumpa dengan wajib yang lebih besar
dan tinggi. Tidak ramai yang 'gugur'
kerana berfikir begini.
Mereka kecundang bukan kerana suasana
persekitaran sudah kekurangan maksiat
dan sebab dakwah. Malah maksiat makin
banyak, makin menggila. Tetapi lagi
banyak maksiat bertebaran, makin kurang
pendakwah yang bertahan.
Gugurnya da'ie dari jalan dakwah bukan
kerana itu semua.
Gugur itu hanya kerana 5 huruf yang
sakti.
S.I.B.U.K.
Ya, jika sibuk dijadikan alasan, tidak
akan ada sesiapa pun yang berani
membantah. Jika dahulu kita sendiri,
kini sudah bersuami atau beristeri.
Anak-anak bakal menyusul. Dulu satu ibu
dan satu bapa, satu keluarga dan satu
saudara mara. Kini semua berganda dua.
Hujung minggu hanya sehari atau dua.
Tanpa disedari, sudah setahun tidak
berusrah. Sudah setahun tidak
berceramah, sudah setahun bercuti dari
dakwah. Salahkah bercuti dari dakwah?
Akal mungkin berkata ya, tetapi hati
sedap menikmatinya.
Jika dahulu, makna hidup dicari pada
kawan yang mad'u dan diri yang da'ie,
tetapi kini makna hidup beralih pada
kerjaya, pada rumah tangga, pada semua
selain dakwah.
BAGAIMANA MENGATASINYA?
Bagaimanakah adik-adik boleh selamat
dan
terkecuali dari fenomena warisan ini?
Saya sendiri masih bertarung, selagi
nyawa dikandung tubuh.
Tetapi saya percaya, saya berdakwah
bukan untuk menerima, tetapi kerana
mahu
memberi. Dan pada memberi itu, saya
meng'erti'kan hidup, lantas terasa
berbaloi mengorbankan Sabtu dan Ahad
demi Sabtu dan Ahad, meninggalkan anak
sendiri untuk bertemu anak orang lain,
demi erti hidup yang pada MEMBERI.
Kerana itulah saya masih terus
bertahan,
walaupun dalam seribu kepayahan.
"Kenapa mahu berdakwah?", tanyalah
kepada diri.
---------------------------------
Tolong ingatkan saya
andainya saya terlupakan Tuhan
dalam kelapangan dan kesibukan
dalam kesenangan dan kesusahan.
Tolong ingatkan saya
Jangan jadi anak derhaka
Mak ayah dilupakan jangan
Usah diluka hati dan perasaan
Tolong ingatkan saya
Supaya ingat pesan guru
bukan sekadar peringatan
Tapi tarbiyah berpanjangan
Tolong ingatkan saya
Dengarlah dan bacalah al-Quran
tika radio penuh hiburan
tika televisyen penuh Hindustan
Tolong ingatkan saya
Di mana Islamnya zahirku
Jika aurat didedahkan
Disingkat,diketatka n dan dijarangkan
Tolong ingatkan saya
Jadilah sahabat yang baik
Sentiasa memberi peringatan
Sentiasa menerima teguran
Tolong ingatkan saya
kalau bercinta biarlah kerana-Nya
dalam memilih utamakan iman
kelak ikatan dihindar syaitan.
Tolong ingatkan saya
Hidup ini satu kembara
Kutiplah mutiara dalam perjalanan
Moga di sana menjadi bekalan
Tolong ingatkan saya
Diri ini milik Kuasa
Kepada-Nya jiwa diserahkan
Segalanya Dialah tumpuan...
forwarded e-mail too.. min ukht Faizah A.A...